Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
NGO GESA TUBUH JAWATANKUASA SELESAI ISU DAGING IMPORT HALAL – SINAR HARIAN – 25/08/2022
29 Aug 2022

KUALA LUMPUR – Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menubuhkan jawatankuasa khas dalam dalam usaha menangani keraguan status halal daging import.

Desakan itu dibuat enam NGO Islam iaitu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM); Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas); Pertubuhan Produk Ummah Malaysia; Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Persatuan Anti Diskriminasi dan Salah Laku serta Sahabat 99.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, isu itu sudah diperjuangkan pihaknya sejak dua dekad lalu, namun masih tiada penyelesaian dan menyatakan kesediaannya untuk membantu sebagai pemantau Jakim serta bekerjasama dengan atase halal di Australia.

“Kita bersedia menghantar NGO ke sana (Australia) bagi melaksanakan tugas-tugas pemantauan. Ini kerana banyak keraguan yang perlu diperjelaskan termasuk hasil Jakim dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang dikatakan masih tidak melakukan pemeriksaan di rumah sembelihan berkenaan.

“Sekiranya suara NGO tidak dipedulikan, ada masalah dalam sistem sedia ada. Perkara ini (isu halal) telah berlaku bertahun-tahun.

“Justeru dengan adanya pembabitan wakil NGO, ia dapat mengikis keraguan pengguna pada masa akan datang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PPIM di sini, pada Khamis.

Media tempatan pada 14 Mei lalu melaporkan, loji sembelihan di Australia, Thomas Foods International Lobethal digantung kelulusan sebagai pembekal selepas didapati melanggar protokol sembelihan halal.

Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan itu diberi surat tunjuk sebab kerana tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

Dalam pada itu, Nadzim berkata, gabungan NGO berkenaan akan menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat bagi menyelesaikan permasalahan yang sudah berlarutan itu.

Sementara itu, Presiden Perkemas, Faizan Mohd Nor memaklumkan masalah berkenaan masih berlarutan walaupun pendedahan telah dibuat oleh seorang bekas pekerja di rumah sembelihan terbabit lebih tiga bulan yang lalu.

Katanya, sehingga kini tiada penjelasan berhubung isu daging import halal yang didedahkan sebelum ini sebaliknya Jakim hanya mengeluarkan kenyataan menyatakan pihaknya masih menunggu laporan audit dari JPV.

“Jakim juga wajib menjelaskan mengapa mengambil masa walaupun perkara ini sudah berlarutan bertahun-tahun dengan bukti yang sangat jelas.

“Kita ada pengakuan bersumpah (SD), penampilan The Hooded Man, bukti-bukti dan video. Jadi mengapa ia mengambil masa yang lama?” soalnya.

Artikel oleh: Sinar Harian

NGO GESA TUBUH JAWATANKUASA SELESAI ISU DAGING IMPORT HALAL

https://www.sinarharian.com.my/article/218213/berita/nasional/ngo-gesa-tubuh-jawatankuasa-selesai-isu-daging-import-halal