Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PENYIMPAN HILANG WANG: BANK PERLU BERTANGGUNGJAWAB – BERITA HARIAN – 25/08/2022
29 Aug 2022

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan mengarahkan institusi kewangan dan bank supaya bertanggungjawab terhadap kehilangan wang simpanan pelanggan sekiranya ia berpunca akibat kecuaian mereka.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah, berkata Bank Negara Malaysia (BNM) sedang memantau isu kehilangan wang simpanan pelanggan yang kini semakin menjadi tumpuan masyarakat.

Malah katanya, perkara itu juga sudah beberapa kali dibangkit dan dibahas pada sesi sidang Dewan Rakyat, sebelum ini.

“BNM memang sedang memantau teliti isu ini. Sudah pasti sesiapa sahaja yang merasa mereka dianiaya, mereka boleh laporkan kepada polis selain bank masing-masing, kerana itu prosedur yang sedia ada digunakan.

“Dalam masa yang sama, kementerian sudah mengarahkan institusi kewangan serta bank untuk melihat semula sekiranya kecuaian itu berlaku disebabkan mereka, maka institusi kewangan serta bank perlu bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatagani memorandum persefahaman (MoU) pembangunan Sukan Dron di Medini, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

Selasa lalu, Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman, dilaporkan berkata, pihak bank tidak boleh lepas tangan dan menyalahkan pelanggan semata-mata apabila scammer atau penggodam ‘merompak’ duit pendeposit dalam akaun mereka.

Sebaliknya, pihak bank didesak supaya membayar semula ganti rugi kepada pelanggan apabila berlaku kes kehilangan wang simpanan yang berpunca daripada kelemahan sistem sekuriti perbankan.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pula dilaporkan berkata, BNM perlu mengkaji semula perihal kebertanggungjawaban bank komersial terhadap isu kehilangan wang pelanggan yang semakin kerap berlaku.

Sebelum ini, Pakar Perunding Perubatan, Dr Rafidah Abdullah dilaporkan mendakwa, kehilangan wang simpanannya sebanyak RM13,000 pada 19 Ogos lalu menerusi tiga transaksi yang mencurigakan pada jam 2 pagi.

Beliau mendakwa, tidak menyedari tiga transaksi tersebut kerana tidak menerima nombor Kod Kebenaran Transaksi (TAC) daripada pihak bank.

Artikel oleh: Berita Harian

PENYIMPAN HILANG WANG: BANK PERLU BERTANGGUNGJAWAB

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/08/992756/penyimpan-hilang-wang-bank-perlu-bertanggungjawab