Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PECAT MENTERI KESIHATAN – KENYATAAN MEDIA PPIM – 01/04/2022
01 Apr 2022

Dalam ucapan di Majlis Hi-Tea PPIM Bersama Media pada petang Khamis, 31 Mac 2022, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan@toqqi telah menegaskan beberapa perkara yang boleh dirumuskan seperti berikut:

Pertama, Nadzim meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri untuk memecat Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin serta merta susulan kenyataan dari ahli Parlimen Rembau itu yang berjanji akan menyusahkan hidup rakyat yang memilih untuk menolak vaksin Covid-19.

Khairy dilaporkan berkata, “Pendekatan kita adalah, maaf cakap, kita akan buat hidup anda susah kerana anda tidak divaksin kerana anda memilih untuk enggan divaksin,” pada 16 Oktober 2021 selepas pelancaran 11th National Acute Myocardial Infarcation Course (NAMIC) 2021 di ibu negara.

Selain itu, aplikasi MySejahtera yang semakin mengelirukan rakyat turut menjadi antara bukti utama kegagalan Khairy sebagai Menteri Kesihatan dan menteri yang bertanggungjawab berkaitan Program Vaksinasi Negara sebelum beliau dilantik menjadi Menteri Kesihatan.

Menurut Nadzim, skandal aplikasi MySejahtera turut menambah kegusaran dan kemarahan rakyat kerana terasa mereka dianiaya dan tidak diberikan sebarang penjelasan kenapa tindakan pengambilalihan aplikasi itu oleh syarikat baharu daripada KPISoft Malaysia Sdn Bhd, syarikat tempatan yang membangunkannya kepada sebuah syarikat lain tidak diumumkan kepada rakyat dan perkara itu hanya terbongkar setelah didedahkan oleh Public Accounts Committee (PAC).

“Sebelum pelantikannya sebagai Menteri Kesihatan, Khairy telah gagal menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.

Nadzim yang juga ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, jika rakyat tertekan tidak mustahil mereka akan bertindak menentang kerajaan sedia ada.

“Di mana-mana negara pun jika rakyatnya ditindas, mereka akan bangkit dan mempertahankan hak mereka, dan tidak mustahil perkara tersebut boleh berlaku di negara ini,” katanya.

Pada majlis yang sama, Nadzim turut memberitahu media pihaknya secara peribadi dan PPIM bersama lebih 1.2 juta ahlinya telah memberi satu nota kepada Perdana Menteri menyatakan komitmen mereka untuk membantah mana-mana ahli parlimen dan ahli politik yang terus menyokong program PICK yang terbukti menjadi punca Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) dan kematian di kalangan rakyat Malaysia.

Nadzim meminta rakyat Malaysia bersatu hati dan menyatakan protes mereka dalam solidariti kepada 2.5 juta rakyat Malaysia yang bakal ditukar status vaksinasi kerana enggan patuh kepada permintaan tidak masuk akal oleh Khairy.

“Mereka ini sudah divaksinasi, bukan mereka menolak vaksin sepenuhnya tetapi walaupun mereka sudah akur dan menerima vaksin, Khairy masih mendesak dan memaksa mereka untuk terus diberikan vaksin yang belum pun terbukti membantu mencegah Covid-19 malah vaksin Covid-19 telah terbukti menyebabkan kematian ramai rakyat Malaysia,” katanya.

Nadzim memberikan contoh tindakan yang diambil oleh pemandu trak di Canada dan Australia yang bertegas dengan pendirian mereka.

“Kita tidak mahu rakyat turun ke jalanan untuk membantah, cukup sekadar kita tinggal di rumah dan tidak keluar ke mana-mana, tunjukkan kepada kerajaan rakyat adalah nadi negara, tanpa rakyat, tanpa suara kerdil ini kerajaan tidak akan mampu berbuat apa-apa jadi janganlah kerajaan melakukan sewenang-wenangnya terhadap rakyat, mereka bukan bahan kajian,” katanya.

Nadzim berkata, jika semua rakyat Malaysia kekal di rumah dalam solidariti, segala pengangkutan awam akan terhenti, tidak ada penghantaran barangan, tidak ada pengawal keselamatan, tidak ada premis perniagaan yang boleh beroperasi.

“Adakah itu yang kerajaan mahu lihat untuk memahami betapa rakyat menderita kerana satu individu yang terlalu ghairah mengejar pengiktirafan antarabangsa, beliau sanggup menggadaikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat negara sendiri. Segala salahlaku Khairy dan penganiayaan terhadap rakyat harus dihentikan segera,” tegasnya.