Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PENIPUAN, PENINDASAN DAN SALAHLAKU DALAM PENGAMBILAN KEMASUKAN PEKERJA ASING KE MALAYSIA DAN PENGLIBATAN SYARIKAT SWASTA DALAM PERMOHONAN PENGAMBILAN PEKERJA ASING – KENYATAAN AKHBAR PPIM – 10/11/2021
10 Nov 2021

KEMASUKAN PEKERJA ASING KE MALAYSIA MELIBATKAN SYARIKAT / VENDOR SYARIKAT SWASTA DAN SINDIKET PEMERDAGANGAN PEKERJA ASING (PATI) DI DALAM NEGARA

Sejak tahun 1985 negara kita telah membawa masuk pekerja asing untuk menampung keperluan pekerja asing di beberapa sektor ekonomi. Tidak dinafikan, Negara kita amat memerlukan khidmat tenaga asing kerana rakyat kita tidak berminat berkerja di dalam beberapa sektor. Baru-baru ini kita mendapati isu pekerja asing atau pendatang asing tanpa izin (PATI) telah menjadi masalah utama Negara kita. Kini isu ini dipandang berat oleh rakyat Malaysia yang tidak puas hati dengan kesan-kesan sampingan yang dibawa oleh pekerja asing dan PATI.

Sejak tahun 1990, sindiket yang membawa masuk pekerja asing ini telah wujud dan telah menyebabkan satu bencana di Negara kita. Sindiket-sindiket ini lebih mengutamakan keutungan dari kebajikan pekerja dan kepentingan majikan yang membawa masuk pekerja asing ke Negara kita. Sindiket-sindiket ini berselindung di sebalik syarikatsyarikat tempatan di mana pengarah atau pemegang syer adalah rakyat tempatan. Sindiket-sindiket ini telah mengaut keuntungan berbillion dan menyebabkan Negara kita rugi dari segi kutipan hasil cukai. Selain dari kerugian dalam pengutipan cukai, Negara kita rugi dari segi pengaliran keluar wang tunai dari Negara kita tanpa pengetahuan kerajaan. Saya akan sertakan beberapa dokumen dan modus operandi penipuan yang dilakukan oleh syarikat-syarikat ini.

MONOPOLI SYARIKAT SWASTA DALAM PENGAMBILAN PEKERJA ASING

Sejak tahun 2015 terdapat syarikat swasta menguruskan pengambilan pekerja asing melalui satu sistem yang telah dibangunkan oleh syarikat swasta ini dan disambung dengan sistem Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia. Syarikat swasta ini seolah-olah membantu kerajaan dalam pengambilan pekerja asing ke Negara kita tetapi secara amnya mengutip hasil jutaan ringgit di Negara sumber pekerja asing untuk membawa masuk pekerja asing ke Negara kita. Syarikat swasta ini berurusan dengan syarikat atau sindiket di Negara sumber untuk mengutip bayaran RM 15,000 ke RM 20,000 satu pekerja untuk layak berkerja di Negara kita. Pekerjapekerja ini dijanjikan dengan bayaran gaji yang lumayan tetapi akhirnya menjadi mangsa kepada sindiket-sindiket pemerdagangan orang di Negara kita.

Pekerja-pekerja yang datang berkerja di Negara kita adalah dari golongan rakyat miskin. Pekerja-pekerja ini terdiri dari golongan petani dan buruh biasa di Negara mereka. Mereka dipaksa membayar dengan nilai yang begitu tinggi semata-mata untuk datang berkerja di Negara kita. Mereka sanggup jual tanah, rumah dan ternakan mereka untuk membayar kos kepada sindiket-sindiket ini untuk datang ke sini. Ada yang sanggup berhutang semata-mata untuk membayar kos permit kerja. Harapan mereka untuk berkerja di Negara kita dan menjaga keluarga mereka hancur kerana gaji yang diperolehi hanya boleh mampu membayar hutang mereka di Negara mereka. Syarikat swasta yang menguruskan pengambilan pekerja asing dan sindiket yang mengaut keutungan berjutaan ringgit tetapi majikan dan pekerja asing mengalami kerugian.

SINDIKET PERDAGANGAN MANUSIA DAN PATI

Baru-baru ini Negara kita dikejutkan dengan berita Amerika syarikat telah menyekat import sarung tangan getah dari Negara kita. Tuduhan mereka adalah, kilang-kilang ini menggunakan buruh paksa. Ini adalah satu tuduhan yang benar. Kilang-kilang ini terpaksa mengambil pekerja-pekerja dari sidiket-sindiket untuk menampung kekurangan pekerja. Sindiket-sindiket ini amat cekap mencari pekerja-pekerja di kalangan PATI. Mereka membekal pekerja-pekerja yang terdiri dari golongan Pendatang Tanpa Izin (PATI) ke syarikat-syarikat yang memerlukan pekerja asing. Sindiket mengambil jalan yang amat mudah dengan membekal PATI sebagai tenaga kerja. PATI-PATI ini tidak ada pilihan lain selain dari mengikut kehendak sindiket-sindiket ini. Pekerja-pekerja ini ditindas dengan pelbagai cara. Mereka tidak dibayar gaji yang mencukupi dan sindiket akan mengambil sebahagian dari gaji mereka. Mereka tidak mendapat sebarang tambahan seperti kemudahan kesihatan dan lain-lain. Mereka ditindas dengan pelbagai cara.

TANGGUNGJAWAB PENGGUNA

Pengguna juga mempunyai peranan yang penting dalam usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Terdapat banyak peranan sosial yang boleh dimainkan oleh pengguna yang mana ianya sering dipandang remeh oleh mereka. Misalnya, troli pasaraya. Banyak pasaraya yang menyediakan pekerja untuk mengutip troli yang dipakai oleh pelanggan. Jika mereka dilatih atau mempunyai sikap rajin untuk meletakkan semula troli itu ditempat khas troli maka pasaraya-pasaraya tidak perlu menyediakan pekerja khusus untuk mengutip troli yang disepah-sepahkan pengguna.

Jika pengguna mempunyai sikap menjaga kebersihan di kawasan awam, khususnya tandas maka pemilik premis tidak perlu menyediakan pekerja yang khusus untuk membersih tandas. Begitu juga dengan sikap membuang sampah merata-rata.