Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang serius penutupan 16 stesen LRT Komuter milik Prasarana Berhad.
Menurut Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata, gangguan perkhidmatan tren itu menjejaskan urusan pengguna samada bekerja, berniaga mahupun pelajar.
“Rakyat dibawah ini bukan semua memiliki kenderaan, jika ada pun mungkin motorsikal dan dengan musim hujan sekarang, ramai yang bergantung penuh kepada pengangkutan awam khususnya perkhidmatan LRT,” katanya.
Lebih membimbangkan alasan sambil lewa pihak berwajib berkenaan isu tersebut menunjukkan kerajaan tidak mempedulikan rakyat.
“Terlalu ramai yang terjejas, yang tidak dapat berniaga, tidak dapat ke tempat kerja, anak-anak mahu bersekolah dan ke pusat pengajian semuanya tergendala. Pihak yang bertanggungjawab sanggup mengeluarkan kenyataan mereka tidak tahu punca gangguan perkhidmatan yang dibawa seliaan mereka?” katanya.
Menurut Nadzim lagi sudah tiba masanya rakyat membuat pilihan dalam pilihanraya akan datang dan memastikan calon yang dipilih benar-benar mampu memikul tanggungjawab.
“Setakat berkata tak tahu dan arahkan siasatan itu bukan tindakan pemimpin yang bertanggungjawab!” tegas Nadzim.
Semalam, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), selaku operator perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel di Lembah Klang berkata pembukaan laluan LRT Kelana Jaya kepada orang ramai adalah juga tertakluk kepada penilaian dan kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), dan sekiranya ujian-ujian yang dijalankan berjaya tanpa menunjukkan sebarang gangguan sistem.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad berkata, Mohd Azharuddin Mat Sah, pihak Rapid Rail telah menjalankan beberapa ujian sistem dan pergerakan tren bagi menilai kestabilan.
Ujian keatas sistem tersebut dilakukan oleh pasukan kejuruteraan Rapid Rail bersama dengan pihak pengeluar peralatan asal (OEM) Thales Group namun punca kerosakan masih belum dikenalpasti.
LRT Laluan Kelana Jaya telah dibuka kepada umum pada tahun 1998. Pada ketika ini, laluan itu adalah laluan yang tersibuk di antara jajaran sistem rel kendalian Rapid KL.
Sistem ATC bagi laluan tersebut adalah sistem yang telah digunapakai sejak hampir 25 tahun yang lalu.
Pada bulan lepas, pihak Lembaga Pengarah Prasarana Malaysia Berhad telah pun meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta yang diperlukan untuk fasa pertama penaikan taraf sistem berkenaan.