Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPDM HANTAR MEMORANDUM KE SEMUA PARTI MINTA SELESAI ISU PEMAIN INDUSTRI PENGANGKUTAN DARAT – SUARA KEADILAN – 02/02/2022
03 Feb 2022

Menjelang Pilihan Raya Umum ke 15, Pertubuhan Penyatuan Pemain Industri Pengangkutan Darat Malaysia (PPDM) berharap parti parti politik yang bersaing untuk menerajui Putrajaya akan melihat dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pemain industri pengangkutan darat sejak sekian lama di negara ini.

Menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan (gambar, dua dari kiri) yang merasmikan majlis PPDM di Putrajaya pagi tadi, pemain industri pengangkutan darat merana sekian lama akibat tidak mendapat pembelaan selayaknya oleh kerajaan dan parti parti politik yang mendukung kerajaan.

Sehubungan itu beliau memuji aktivis PPDM, Kamarudin Mohd Hussain (gambar, dua dari kanan) yang bersusah payah mengumpulkan penggiat industri berkenaan untuk dibela dan diperjuangkan nasib mereka sedaya upaya.

“Keadaan kita hari ini cukup sedih kerana pembelaan kepada mereka yang susah memang cukup sukar diperolehi. Saya dapat menghayati, betapa sukar kita nak menjana kehidupan.

“Tak payah cerita permit, 200 300 Grab ke, tak ada. Nak dapat lesen meniaga pun macam nak menangis. Apa masalahnya, beri sahajalah. Macam macam aduan, ada YDP macam ini, ada penguatkuasa macam ini. Hal ini tidak akan berkesudahan kecuali ada inisiatif macam yang dilakukan saudara Kamal.

“Dia datang berjumpa, saya tertarik dengan kesungguhan dia, saya yakin kita di tengah perjalanan. Hari ini tujuan kita menyatakan hasrat pemain industri ini menyerahkan memorandum kepada wakil parti politik di sini untuk menyatakan kita akan akan sokong (dalam pilihan raya) mereka yang membantu kita,” katanya.

Justeru Nadzim berkata, tiba masanya pemain industri yang teraniaya berfikir secara lebih matang dan menolak mana mana calon pilihan raya yang dianggap tidak akan membantu jika telah menjadi kerajaan kelak.

“Kita mahu wakil rakyat faham apa yang dilalui rakyat. Rakyat seksa. Kita dengar kenyataan ‘kita akan susahkan mereka yang tak ada vaksin’. Kita nak cari orang yang bantu menyenangkan hidup kita, bukan yang menyeksa kita. Siapa yang menyokong Khairi Jamaludin, siapa yang menyokong brother Kamal kita?

“Saya yakin dengan kesungguhan kita. Kita di PPIM ini telah 25 tahun cuba buat sebaik mungkin tetapi kita hanyalah orang biasa. Hari ini kita nak garab sesiapa yang mahu membantu, bukan mengira parti.

“Sudah masanya kita tak boleh terima perangai bohong, sombong, angkuh, bongkak. Dalam PRU akan datang ini sesiapa wakil rakyat atau calon yang angkuh, sombong kita tolak.

“Kita tak mahu diskriminasi. Tolong orang dia sahaja. Saya teruja dengan kesungguhan kumpulan industri darat ini,” katanya.

Nadzim juga membawakan cerita beliau pernah membantu seorang wanita berusia 54 tahun yang hanya tinggal 8 bulan untuk menyelesaikan hutang rumah tetapi pihak bank mahu melelong rumah tersebut kerana beliau sakit dan tidak dapat membayar hutang.

Dengan satu panggilan telefon, kata Nadzim, beliau memberitahu wanita itu perlu menunggu beberapa bulan sahaja lagi sebelum wang KWSPnya dikeluarkan dan berupaya membayar kesemua baki hutang, maka bank bersetuju untuk tidak melelong rumahnya.

“Cuba bayangkan apa yang saya buat, satu panggilan telefon boleh menyelamatkan. Kalau YB Fahmi (Ahli Parlimen Lembah Pantai). Kalau Datuk Bandar, kalau Ketua Polis telefon orang sebelah sana, ok ok (masalah selesai). Ini perlu dijadikan budaya kita,” katanya.

Beliau berkata, budaya membantu rakyat itu perlu disematkan sebagai sikap utama wakil rakyat. Manakala yang rakyat yang bakal mengundi pula perlu pastikan wakil yang dipilih itu akan menyenangkan hidup mereka, bukan sombong selepas menang.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil dijemput mewakili parti itu untuk menerima memorandum dari PPDM.

Artikel oleh: Suara Keadilan

PPDM HANTAR MEMORANDUM KE SEMUA PARTI MINTA SELESAI ISU PEMAIN INDUSTRI PENGANGKUTAN DARAT

https://www.suarakeadilan.my/post/ppdm-hantar-memorandum-kepada-semua-parti-minta-selesai-isu-pemain-industri-pengangkutan-darat