Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM GESA HENTI TINDAKAN MEMPERSOAL INSTITUSI DIRAJA – SINAR HARIAN – 05/07/2022
05 Jul 2022

SHAH ALAM – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong yang telah memperkenankan pelantikan Profesor Datuk Dr Rahmat Mohamad, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang baharu, selaras dengan Subsekyen 6 (1) Akta 597.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, sekiranya ada mana-mana pihak yang membantah dan mempersoalkan perkenan Yang di-Pertuan Agong, ibarat mereka menderhaka dan melawan baginda.

Jelasnya, perbuatan tersebut juga boleh disabitkan peruntukan Akta Hasutan 1948.

“Kami di PPIM menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong yang juga telah memperkenankan pelantikan Dr Rahmat sebagai Pengerusi Suhakam selaras dengan Subsekyen 6(1) Akta 597.

“Pihak yang tidak berpuas hati tentang lantikan ini sudah tentu mempunyai agenda peribadi dan tidak mahu kebenaran hak asasi manusia menjadi keutamaan.

“Mereka hanya mahu satu atau dua perkara sahaja diketengahkan dan mengabaikan banyak lagi isu kemanusiaan yang perlu mendapat perhatian Suhakam,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Ahad, Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Sevan Doraisamy mempersoalkan lantikan beberapa tokoh kontroversi bagi Suhakam yang disifatkan tidak berkongsi nilai teras hak asasi manusia.

Beliau turut kecewa memandangkan Malaysia baru-baru ini mendapat kerusi dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Bagaimanapun, Nadzim menyifatkan kenyataan Sevan sebagai biadab dan berat sebelah.

“Sevan bercakap tanpa memikirkan kelayakan Dr Rahmat dan semata-mata untuk membantah, apakah yang tahu selain membantah titah Yang di-Pertuuan Agong,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar menghentikan tindakan mempersoal institusi Diraja negara ini, dengan memberi ruang kepada Dr Rahmat menjalankan tugas-tugas beliau.

“Kita sebagai rakyat harus menyokong dan bekerjasama demi kebaikan negara,” katanya.

Artikel oleh: Sinar Harian

PPIM GESA HENTI TINDAKAN MEMPERSOAL INSTITUSI DIRAJA

https://www.sinarharian.com.my/article/210009/BERITA/Nasional/PPIM-gesa-henti-tindakan-mempersoal-institusi-Diraja