Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
REKOD NOMBOR MYKAD PEMBELI MINYAK – PPIM – KOSMO – 04/07/2022
05 Jul 2022

PETALING JAYA – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan syarat tertentu termasuk mengambil butiran pembeli bagi mengawal pengusaha kantin dan peniaga gerai makanan ‘memborong’ minyak masak peket satu kilogram bersubsidi.

Presidennya, Datuk Nadzim Johan berkata, jika trend itu berterusan masalah yang dihadapi pengguna terutama golo­ngan isi rumah tetap berlarutan.

“KPDNHEP perlu melaksanakan syarat tertentu terhadap pasar raya awam dan kedai runcit yang memasarkan minyak masak peket berkenaan.

“Jika kuantiti yang diperoleh sebanyak 1,000, rekod penjualan melalui catatan kad pengenalan (IC) serta nombor telefon perlu dilaksanakan. Ia perlu dikawal menerusi prosedur operasi stan­dard (SOP) yang ketat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ujar beliau, selain itu, sistem yang efisien perlu diwujudkan dan tidak meletakkan tanggungjawab itu sepenuhnya terhadap pasar awam serta kedai runcit.

“Catatan rekod serta justifikasi perlu dilaksanakan kerana jika sistem sedia ada tidak kemas, ia akan memberi ruang kepada penjual yang memasarkan mi­nyak masak peket untuk menipu pengguna selain memperdayakan peniaga makanan.

“Kewujudan trend pembelian pukal itu secara tidak langsung memberi kesan kepada pengguna yang hanya mendapat bekalan minyak masak peket RM2.50 yang terhad selain memberi kesan kepada subsidi minyak disediakan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, wakil Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N. V. Subbarow berkata, wujud kluster yang mana pasar awam meletakkan syarat terhadap peniaga makanan agar membeli barangan secara borong untuk menebus sekotak minyak masak peket.

Jelasnya, perkara terbabit menyebabkan pengguna terpaksa membeli minyak masak di dalam botol yang lebih mahal di pasar raya awam akibat stok terhad.

“Semua sedia maklum, subsidi minyak masak peket dilaksanakan kerajaan adalah khas untuk kegunaan pengguna domestik bukan untuk perniagaan.

“Hal ini menjadi satu masalah kerana penjual tidak mempunyai rasa takut terhadap penguat kuasa. Tindakan tegas perlu diambil terhadap individu tidak bertanggungjawab dengan menarik se­mula lesen perniagaan yang diberikan,” ujarnya.

Beliau turut menyarankan kerajaan agar mewujudkan pasar tani khas terhadap pengguna.

Katanya, tujuannya bukan untuk membunuh peniaga restoran, sebaliknya bagi mengelakkan kekangan terhadap pengguna kera­na kewujudan trend beli pukal.

“Peniaga makanan pula boleh membuat pembelian secara online kerana mereka boleh mendapat diskaun pembelian secara borong selain mengehadkan beberapa kuantiti tertentu kepada satu keluarga,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Artikel oleh: Kosmo

REKOD NOMBOR MYKAD PEMBELI MINYAK – PPIM

https://www.kosmo.com.my/2022/07/04/rekod-nombor-mykad-pembeli-minyak-ppim/