Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2837) #PPIM: KERAJAAN PERLU SENSITIF TENTANG ISU PROGRAM JALAN LUAR BANDAR (JaLB)
14 Sep 2015

Bagi memastikan usaha kerajaan dalam menaik taraf Program Jalan Luar Bandar (Jalb) berjalan lancar dan tidak timbul masalah pada masa akan datang, persetujuan daripada pemilik tanah amat diperlukan.
Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman berkata, tidak dinafikan bahawa kerajaan mempunyai hak menggunakan tanah tersebut untuk pembangunan walaupun tanpa persetujuan pemiliknya.
“Walau bagaimanapun, tindakan tersebut akan mengambil masa sekali gus melambatkan proses pembinaan yang telah dirancang kerana perlu melalui pelbagai prosedur agar tidak melanggar undang-undang negara ini.
“Oleh sebab itu, memberi pampasan kepada pemilik tanah merupakan cadangan yang baik kerana saya percaya tindakan itu akan melancarkan proses termeterai perjanjian persetujuan daripada kedua-dua belah pihak yang terlibat,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, akhbar melaporkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bercadang melaksanakan kaedah pemberian pampasan bagi Program Jalan Perhubungan Desa (JPD) agar lebih adil kepada rakyat.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) pada waktu terdekat.
Hasbullah berpendapat, bayaran yang dilakukan itu haruslah mengikut harga semasa agar tidak berlaku penindasan terhadap pemilik tanah terutama mereka yang kurang memahami akan hal tersebut.
Presiden Majlis Belia Felda Malaysia, Anwar Abdul Manap pula berkata, keperluan jalan luar bandar merupakan tuntutan ke­utamaan untuk orang ramai.
Selain itu katanya, pampasan untuk jalan perhubungan desa yang akan diusulkan dalam RMK-11 itu merupakan salah satu pulangan daripada pulangan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
“Dasar ini mungkin akan dilaksa­nakan pada Bajet 2016 yang akan berlangsung pada Oktober ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihak kerajaan perlu le­bih sensitif mengenai isu tersebut kerana ia merupakan salah satu dasar untuk keperluan rakyat.
“Bantuan yang disalurkan kepada rakyat seharusnya perlu adil dan lebih munasabah untuk mengelakkan bebanan kepada mereka ekoran daripada peningkatan kos sara hidup pada masa kini, “ katanya.
“Kadang kala proses bantuan rakyat ini mengambil masa yang lama dan ini membebankan rak­yat,” katanya. – Utusan