KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengesan sindiket penipuan bayaran pampasan insurans kemalangan kecil yang dipercayai didalangi seorang peguam dan kakitangan bank.
Penipuan itu didakwa menyebabkan kerugian kira-kira RM200,000 membabitkan enam mangsa kemalangan motosikal. Bagaimanapun, PPIM yakin bilangan mangsa adalah lebih ramai tetapi tidak berani membuat aduan.
Ketua Aktivis PPIM , Datuk Nadzim Johan, berkata pihaknya mendapat maklumat selepas beberapa mangsa tampil mengadu. “Mereka adalah mangsa kemalangan motosikal dan berurusan mengenai pembayaran pampasan insurans dengan seorang peguam yang berpangkalan di SS15, Subang Jaya.
“Sepatutnya, mereka memperoleh pampasan kemalangan pada jumlah ditetapkan insurans namun peguam terbabit mengambil sebahagian wang itu tanpa pengetahuan mangsa. “Urusan itu dilakukan di sebuah bank di Seremban, Negeri Sembilan,” katanya dalam sidang media di sini, petang ini.
Nadzim berkata, dalam beberapa kes, peguam terbabit mengambil hampir separuh daripada pampasan walaupun hanya dibenar 10 peratus sebagai yuran pengurusan. “Ada mangsa menyedari perkara itu tetapi apabila disoal, peguam terbabit mendakwa ia adalah untuk pelbagai caj.
“Persoalannya, bagaimana wang itu dikeluarkan dari akaun mangsa tanpa kehadiran atau kelulusan pemegang,” katanya.
Dari Laman Web Rasmi PPIM http://www.ppim.org.my/