Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM LANCAR KAJI SELIDIK LARANGAN INDUSTRI TERPILIH – BERITA HARIAN – 25/05/2022
03 Jun 2022

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan mengadakan program kaji selidik bagi mendapatkan pandangan orang awam tentang larangan industri terpilih untuk generasi akan datang dan beberapa isu semasa yang berkaitan secara dalam talian.

Kaji selidik ini dijalankan susulan pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung larangan merokok dan vape untuk generasi akan datang serta menghalang penjualan produk tersebut kepada individu yang lahir selepas 2005.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, kaji selidik ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan pemahaman orang awam mengenai isu semasa yang menghantui pengguna.

“Sudah tiba masanya kita mendapatkan input daripada rakyat dan juga industri berkaitan keadaan yang kita hadapi hari ini, yang mana banyak perkara tidak menjadi. Banyak perkara dilaksanakan tidak mengikut petunjuk prestasi utama (KPI).

“Kalau ikut KPI pun kalau tidak menjadi, mereka diam sahaja. Maknanya kita tengok akauntabiliti agensi atau kementerian macam tidak payah buat apa pun. Kalau orang tanya, kalau boleh jawab, jawab tapi kadang-kadang jawab pun tak betul.

“Jadi, kita akan buat survey ini untuk tahu kepuasan hati dan komen rakyat yang dibawa ke hadapan biar menteri tengok dan buat sesuatu,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Nadzim berkata, beliau berharap kaji selidik tersebut akan dijadikan sebagai bahan rujukan pada masa hadapan.

“InsyaAllah, dengan responden yang kita dapat, ia boleh mengubah keadaan kita. Kita perlu dedahkan bukan untuk tujuan negatif tetapi positif, kita buat sesuatu perubahan demi masyarakat kita,” katanya.

Tinjauan tersebut akan dijalankan menerusi portal www.ppimonlinepoll.com yang bakal dibuka untuk orang ramai dalam masa terdekat.

Antara soalan yang diutarakan di dalam kaji selidik itu adalah untuk mendapatkan pandangan orang ramai adakah mereka bersetuju atau tidak untuk Kerajaan turut mengharamkan tabiat-tabiat negatif lain seperti perjudian, arak, kelab malam dan makanan manis sekiranya larangan generasi rokok dilaksanakan.

Artikel oleh: Berita Harian

PPIM LANCAR KAJI SELIDIK LARANGAN INDUSTRI TERPILIH

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2022/05/959159/ppim-lancar-kaji-selidik-larangan-industri-terpilih