KUALA LUMPUR – Pengusaha restoran di negara ini disaran menghentikan penjualan rokok bagi menyahut seruan kerajaan yang menguatkuasakan larangan merokok di premis makanan bermula 1 Januari lepas.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, inisiatif itu yang diambil Restoran Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd (Pelita) perlu disokong dan wajar dicontohi pengusaha restoran lain.
“Jika kita lihat di United Kingdom, rokok biasanya tidak dijual secara umum, sebaliknya dijual di tempat khas,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Saranan itu turut disokong Presiden Persatuan Pengusaha Makanan Melayu Islam Wilayah Persekutuan & Selangor (Permas) Ayob Abd Majid yang berkata pengusaha boleh menjana pendapatan sampingan dengan menjual produk lain yang lebih bermanfaat kepada pelanggan.
“Lagipun jika kita lihat penjualan rokok di kaunter restoran tidaklah memberi margin keuntungan yang besar, jadi saya yakin tiada masalah jika setiap restoran menghentikan penjualannya dan mencari inisiatif lain yang boleh membantu beri keuntungan kepada restoran,” katanya ketika ditemui Bernama.
Restoran Pelita baru-baru ini dilapor menghentikan penjualan rokok di kesemua 28 restorannya di seluruh negara berkuat kuasa 16 Januari lepas. – Bernama
Artikel Oleh : Sinar Harian
PPIM, PERMAS SARAN SEMUA RESTORAN HENTI JUAL ROKOK