PETALING JAYA – Satu prosedur operasi standard (SOP) untuk crowd funding (tabung dana) perlu diwujudkan supaya penyelewengan dapat dibanteras dan wang kutipan boleh disalurkan dengan betul kepada mangsa.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, kaedah itu merupakan pendekatan baharu yang perlu ditambah baik dan diakui dapat mengumpulkan wang dalam tempoh singkat.
“Bagaimanapun, pihak berkuasa perlu membuat SOP supaya dana itu tidak diselewengkan. Jika crowd funding dibuat tanpa media sosial, kutipan akan dapat penuh.
“Bagaimanapun, jika menggunakan iklan di media sosial, ada caj yang perlu dibayar, namun yang penting syarikat atau pihak yang menjalankan kerja itu perlu lebih telus dalam memberikan maklumat kepada orang ramai,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Nadzim, mereka seharusnya membuat perjanjian dengan pihak yang ingin dipromosikan supaya tidak terpalit dengan apa-apa isu berbangkit.
Tambahnya, masih banyak SOP yang belum jelas dan tidak melindungi pihak yang ingin dibantu.
Menurut Nadzim, pihak penganjur perlu telus dan tidak menyembunyikan apa-apa caj kerana ia berbalik kepada pengumpulan dana dan bukannya mahu kaut untung.
“Jadi kadang-kadang orang yang ambil duit derma ini dia terlepas pandang. Dia mungkin ambil lewa isu-isu ni kerana semuanya perlu dilakukan dengan asas keadilan dan benar.
“Kalau kita tak bagi langsung keuntungan, bagaimana mereka nak teruskan operasi sedemikian. Namun, perlu ada keseimbangan yang berpatutan,” jelasnya.
Malaysia merupakan negara pertama dari rantau ASEAN yang mewujudkan peraturan dengan tumpuan khusus pada pendanaan ekuiti (crowd funding) dan evolusinya.
Pihak yang mengawal selia perkara tersebut adalah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara.
Artikel oleh: Kosmo
PUNGUT DERMA BIAR TELUS
https://www.kosmo.com.my/2022/10/23/pungut-derma-biar-telus/