Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyambut pendirian dan keterbukaan kenyataan YAM. Tengku Panglima Raja Lt. Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al’Mustafa Billah Shah, SSAP, SIMP, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang mengenai keputusan hukum pengambilan vaksin Covid-19 di Negeri Pahang sebagai Harus (dibenarkan, bukan diwajibkan).
PPIM amat bersetuju dengan pendirian YAM Tengku Panglima berhubung perkara bakal wujud gejala Medical Apartheid di kalangan masyarakat Islam akibat terpengaruh dengan kecenderungan diskriminasi perubatan.
PPIM amat bimbang umat Islam kini sudah mula berpecah dan tiada persefahaman akibat kelemahan dan ketidakstabilan politik negara ditambah dengan keadaan negara yang masih tidak dapat melandaikan lengkungan wabak Covid-19 yang ternyata semakin meningkat dari sehari ke sehari.
Kami menggesa agar pihak-pihak penguasa lain bersama-sama memikirkan jalan terbaik bagi menyelesaikan dilema ini dengan segera dan mengelakkan gejala ini dari terus menular dan memburukkan lagi hubungan antara umat Islam di seluruh negara.