Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
SIASAT LEBIH TELUS ISU KEMATIAN REVNESH – NGO – UTUSAN MALAYSIA – 09/03/2022
10 Mar 2022

PUTRAJAYA: Lebih 50 wakil daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan siasatan lebih telus terhadap isu kematian kanak-kanak lelaki, K. Revnesh. 

Jurucakap wakil berkenaan yang juga Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Global (GHRF), S. Shashi Kumar berkata, selepas 50 hari kematian kanak-kanak itu, KKM masih gagal meyakinkan waris mangsa mengenai punca kematian sebenar. 

Beliau berkata, keluarga kanak-kanak itu juga dimaklumkan, KKM memberi tempoh sehingga enam bulan bagi siasatan terperinci dan urusan bedah siasat diselesaikan. 

“Ketika ini, KKM tidak menyediakan ruang khusus untuk orang awam bagi membuat aduan berkaitan isu vaksinasi khususnya membabitkan kanak-kanak. 

“Justeru, kami mengajak semua ibu bapa dan orang awam yang berdepan situasi sama seperti kes Revnesh tampil supaya isu ini dapat diselesaikan segera,” katanya ketika ditemui di lobi Ibu Pejabat KKM, di sini hari ini. 

Terdahulu, Shashi bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Akhbar Menteri Kesihatan, Raja Syahrir Raja Abu Bakar berhubung isu kematian kanak-kanak itu. 

Sementara itu, Nadzim berkata, beliau juga mendesak kerajaan membatalkan Program Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICK Kids) dan suntikan dos penggalak kepada dewasa. 

Menurutnya, beliau juga mahu orang awam dan penjawat awam yang terkesan dengan suntikan vaksinasi Covid-19 supaya berani tampil ke hadapan bagi menyedarkan rakyat mengenai risiko program vaksinasi ini. 

“Baru-baru ini, saya dimaklumkan, lebih 23,000 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalami pelbagai kesan langsung akibat suntikan vaksin. 

“Mereka ini penjawat awam dan barisan hadapan negara dan kami simpati dengan nasib menimpa mereka. Justeru, KKM perlu tampil bertanggungjawab atas perkara yang berlaku ini,” katanya. 

Katanya, jika tuntutan pihaknya tidak dilayan, pihaknya bersama gabungan NGO di seluruh negara tidak teragak-agak untuk memboikot kerajaan sedia ada pada Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU-15) nanti. –UTUSAN ONLINE 

Artikel oleh: Utusan Malaysia

SIASAT LEBIH TELUS ISU KEMATIAN REVNESH – NGO

https://www.utusan.com.my/berita/2022/03/siasat-lebih-telus-isu-kematian-revnesh-ngo/