SUDAH SAMPAI MASA SUBSIDI KEPADA WARGA ASING DIHENTIKAN – PPIM – MALAYSIAGAZETTE – 12/11/2016
15 Nov 2016
Sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan untuk menghentikan pemberian subsidi kepada warga asing yang membeli barangan kawalan di Malaysia.
Bukan sahaja petrol tetapi ia juga perlu diperluaskan kepada barangan lain seperti beras, gula, minyak, susu, ayam dan sebagainya.
Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Husainay Hashim berkata, cukup-cukuplah kerajaan menanggung subsidi kepada warga asing sejak dahulu.
Sedangkan, jika barang-barangan keperluan ini dijual mengikut harga pasaran semasa, sekurang-kurangnya dapat memberi hasil kepada kerajaan.
“Saya tidak faham mengapa kerajaan masih terus memberi subsidi bagi barangan keperluan kepada warga asing.
“Sepatutnya kerajaan mengurangkan tanggungan beban rakyat, bukan warga asing,” katanya ketika berucap di Forum Pengguna 2016 anjuran PPIM.
Tegas beliau, rakyat negara ini sudah cukup terbeban dengan kenaikan kos menyebabkan kehidupan semakin terdesak.
Katanya, sepatutnya pengguna adalah VVIP kerana mereka yang berbelanja tetapi disebabkan tidak tahu hak, pengguna Malaysia mudah ditipu.
“Apabila kerajaan menaikkan caj jalan raya kepada pengguna warga asing mereka bising sedangkan mereka membeli tepung, ayam, gula dengan harga subsidi. Adilkah ini?,”ujar beliau.
Sehubungan itu, Husaini mahu kerajaan fikir-fikirlah tentang perkara ini.
“Fikirlah bagaimana hendak meredakan ketegangan rakyat,” tambahnya. – MalaysiaGazette
Post Views: 983