Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
SYARATKAN PENGELUAR VAPE, ISYTIHAR ISI KANDUNGAN – NADZIM JOHAN – MALAYSIA GAZETTE – 17/02/2024
22 Feb 2024

KUALA LUMPUR – Sudah sampai masanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan garis panduan kepada pengeluar dan penjual vape termasuk mengisytiharkan isi kandungan rokok elektronik itu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ia bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penggunaan vape yang betul khususnya mengurangkan ketagihan merokok.

“Apa-apa yang kita masukkan ke dalam diri kita, perlu ada kawalan terutama bila ada keraguan dan ada dakwaan Vape mengandungi bahan terlarang seperti ketum, dadah dan bahan kimia.

“Dia kena ada kelulusan dan deklarasi yang mengatakan dalam vape tidak mengandungi racun.

“Mungkin dia tak ada salah (isi kandungan), tapi dia kena isytihar juga,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Selasa lalu, media melaporkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, mendesak kerajaan memperkenalkan peraturan bagi mengawal selia kandungan vape.

Wan Saiful berkata, ketika ini, tiada sebarang peraturan yang dikenakan bagi kawalan bahan yang terkandung dalam peranti elektronik terbabit.

Beliau berkata, Menteri Kesihatan mempunyai kuasa untuk memperkenalkan peraturan kandungan vape melalui Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Dalam pada itu, Nadzim juga berkata, vape seumpama produk makanan yang mengandungi bahan gula tinggi dan boleh memudaratkan orang ramai jika diambil tanpa kawalan dan panduan.

“Macam dalam minuman ada gula, tapi gula tidak diisytihar sebagai racun tapi ia memang racun dan bahaya kepada sesetengah orang.

“Jadi orang yang mungkin tak nak gula dalam minuman, dia tak dapat tengok, jika ada deklarasi, mungkin dia boleh mengelakkan diri,” katanya.

Katanya lagi, pengguna perlu dimaklumkan secara jelas jumlah nikotin yang terkandung di dalam sesuatu peranti elektronik yang dijual di pasaran.

“Macam nikotin, ada keadaan tertentu yang membenarkan penggunaan nikotin itu dalam kuantiti yang sedikit.

“Paling penting kita memberi garis panduan kepada pengeluar vape dan pengguna vape supaya mereka sendiri boleh memilih,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

SYARATKAN PENGELUAR VAPE, ISYTIHAR ISI KANDUNGAN – NADZIM JOHAN

https://malaysiagazette.com/2024/02/17/syaratkan-pengeluar-vape-isytihar-isi-kandungan-nadzim-johan/