Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
SYARIKAT PENERBANGAN PUNCA MASALAH…. – BERITA HARIAN – 29/02/2024
29 Feb 2024

KUALA LUMPUR: Jurulatih pasukan Taekwando dari Sabah, Safuan Fathy Amran meluahkan rasa syukur selepas warga negeri itu menderma untuk membeli tiket penerbangan baharu selepas beberapa ahli pasukan itu terlepas penerbangan ke Kuala Lumpur berikutan penerbangan sambungan mereka lewat.

Dalam hantarannya di Facebook, Safuan berkata pasukan Taekwando itu mula bertolak ke Kuala Lumpur dalam beberapa kumpulan.

“Kumpulan yang terjejas ini telah berada di lapangan terbang Kota Kinabalu seawal 7.30 pagi untuk penerbangan ke Sandakan yang dijadualkan pada jam 9.30 pagi.

Namun, penerbangan itu tertunda menyebabkan pasukan itu lewat tiba di Kota Kinabalu.

“Walaupun pasukan kami sudah daftar masuk awal ke penerbangan ini, kerana kami tiba di lapangan terbang 40 minit sebelum pesawat berlepas, pihak syarikat penerbangan tidak membenarkan kami menaiki pesawat untuk ke Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau kecewa kerana syarikat penerbangan tambang rendah yang mengalami kelewatan penerbangan itu tidak memaklumkan perkara itu lebih awal.

“Bayangkan betapa hancur perasaan peserta yang telah bertungkus lumus berlatih berbulan. Ibu bapa pula berusaha mencari duit untuk menampung kos kejohanan.

Satu syarikat penerbangan walau pun sudah daftar masuk hanya sahkan kehadiran sahaja, tidak diterima. Yang penerbangan tambang murah pula, gagal maklumkan kelewatan lebih awal,” katanya.

“Kasihan kepada para peserta. Hancur hati. Kini, ada ibu bapa cuba sedaya upaya untuk mengikuti perjalanan anak mereka walau terpaksa membayar lebih RM3,000 harga tiket untuk esok hari (hari ini).

Ibu bapa lain, pasrah dan menarik diri sebab kos mengikut kejohanan Hwarang24 ini RM1,500 seorang tidak termasuk makan minum. Hati ibu bapa turut sedih dan hancur,” katanya.

Safuan berkata, kebanyakan ahli pasukannya bukan dari kalangan orang berkemampuan.

“Kami ini peserta yang datangnya daripada daerah termiskin di Malaysia. Pengajaran juga untuk kami. Semoga semua baik-baik saja,” katanya.

Mendengar rintihan ini, seorang netizen yang menggunakan nama Riniejene Anthony telah membuka tabung untuk mengumpul dana bagi membolehkan mereka membeli tiket penerbangan baharu.

Menerusi laman Facebook Sabah Info, mereka berjaya mengumpul RM18,000 untuk pembelian tiket penerbangan dan pasukan itu sudah bertolak ke Kuala Lumpur pagi ini untuk menyertai kejohanan Taekwando tersebut.

Semakan BH mendapati setiap peserta yang terjejas memerlukan kos RM1,000 untuk membeli tiket penerbangan satu hala ke Kuala Lumpur dan kos tambahan untuk penginapan dan makan di Kota Kinabalu sementara menunggu penerbangan baharu.

Rata-rata netizen memuji usaha semua pihak yang bekerjasama mengumpul dana diperlukan.

BH difahamkan dana terkumpul sudah melebihi jumlah yang diperlukan dan dana lebihan akan diserahkan kepada pasukan Taekwando dari Sabah itu.

Syarikat penerbangan punca masalah

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan mengecam tindakan dua syarikat penerbangan tempatan yang menjadi punca punca masalah ini.

“Yang lewat itu sudahlah tidak bertanggungjawab, bersembunyi di sebalik prosedur dan syarat tempoh kelewatan dibenarkan, apabila jadi begini masing-masing lepas tangan.

“Syarikat sambung ke Kuala Lumpur pula sikit pun tidak bertimbang rasa, ini pelajar Malaysia mereka sedang berusaha untuk harumkan nama negara di arena antarabangsa, mengapa sedikit pun tidak pertimbangkan mereka lewat bukan salah mereka, salah syarikat penerbangan juga,” katanya.

Nadzim berkata Kementerian Pengangkutan seharusnya mengenakan syarat lebih ketat terhadap syarikat penerbangan dan menjamin kepentingan pengguna terjaga dan tidak ada pihak yang melepaskan tangan apabila berlaku situasi seperti yang dialami pasukan Taekwando dari Sabah itu.

“Mujur rakyat Malaysia sememangnya amat prihatin terutama perkara melibatkan pelajar, tetapi jika rakyat yang perlu bangkit menjaga diri sendiri apa gunanya ada pihak berkuasa …untuk apa mereka ini,” katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

SYARIKAT PENERBANGAN PUNCA MASALAH….

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/02/1217988/syarikat-penerbangan-punca-masalah