Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
UBAH NASIB BUMIPUTERA, USAH MALU CONTOHI CINA – SINAR HARIAN – 29/02/2024
29 Feb 2024

Menyingkap kembali sejarah penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB), ia telah dirasmikan buat julung kali oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 1965 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Hasilnya, sejumlah 70 resolusi diluluskan antaranya cadangan menggantikan nama RIDA (Rural & Industrial Development Authority) kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan penubuhan Bank Bumiputera yang modalnya dibiayai kerajaan.

Pelaksanaan KEB kedua dirasmikan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada tahun 1968 pula dipercayai merintis jalan kepada pelaksanaan polisi Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang akhirnya membuka peluang pembangunan usahawan bumiputera.

Umum mengetahui UMNO adalah parti pelopor penganjuran kongres itu bermatlamat mengangkat kedudukan Melayu dan bumiputera dalam arus pembangunan negara pasca merdeka.

Sejak itu, boleh dikatakan setiap dasar dirangka, dirancang dan dilaksanakan kerajaan adalah bersumberkan kongres ini, di samping mendapat suntikan buah fikiran menerusi resolusi dicapai dalam Perhimpunan Agung UMNO tahunan.

Hakikatnya, sejumlah 10 kongres seumpama ini telah dianjurkan UMNO sejak pasca kemerdekaan.

Lima daripadanya masih mengekalkan nama KEB termasuk KEB 2024, manakala lima lagi menggunakan nama lain seperti Kongres Ekonomi Islam dan Kongres Ekonomi Melayu 2012.

Bagaimanapun, pelaksanaan ratusan resolusi baharu serta penggubalan polisi dan dasar yang terlahir daripada hasil perbincangan KEB, sehingga kini masih belum dapat meningkatkan taraf sosioekonomi bumiputera agar setara dengan kaum lain.

Justeru, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan KEB 2024 dipelopori UMNO bakal menjadi antara agenda penting Kerajaan Madani bagi merombak serta melonjak pembangunan sosioekonomi bumiputera secara menyeluruh, masih ramai skeptikal.

Berikutan itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Muhammad Asri Mohd Ali berpandangan tiada guna ratusan KEB dianjurkan sekiranya mentaliti golongan bumiputera masih ditakuk lama dan sering bergantung harap terhadap bantuan kerajaan.

Ujarnya, sudah tiba masanya penganjur dan peserta KEB tidak lagi memikirkan kaedah lapuk dalam memacu sosio-ekonomi bumiputera seperti berterusan meletakkan kerajaan sebagai tonggak atau institusi utama dalam mengatur pen-strukturan semula ekonomi golongan itu.

“Bayangkan program Rancangan Pembangunan Malaysia (RMK) sudah mencapai angka 12, tetapi nasib bumiputera masiti ditakuk sama. Birokrat pelaksana dasar kerajaan sekarang pula kurang semangat nasionalisme sebagaimana birokrat zaman pentadbiran Tun Abdul Razak.

“Sebab itu saya berharap penganjur tidak lagi meletakkan agenda KEB tertumpu kepada kerajaan sebagai tonggak utama pelaksanaannya.

“KEB 2024 usah malu untuk mencontohi kemampuan kaum Cina menyelesaikan isu pendidikan melalui Dong Zong (Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia) dan ekonomi menerusi dewan perniagaan kaum itu tanpa bergantung kepada kerajaan,” katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Dengan dunia kini dipacu pelbagai kejutan pembaharuan ekonomi, Muhammad Asri menegaskan sudah tiba masanya kaum bumiputera menubuhkan satu institusi yang memacu sendiri pertumbuhan ekonomi Melayu ala pertubuhan Dong Zong atau dewan perniagaan kaum Cina.

Tambahnya, institusi ini kemudiannya disaran bekerjasama dengan kelompok diaspora bumiputera yang bekerja atau berniaga di luar negara bagi memanfaatkan akses jaringan perdagangan antarabangsa dimiliki mereka.

“Dalam konteks ini, kerajaan boleh bertindak sebagai pemudah cara untuk mewujudkan Pusat Kecemerlangan Diaspora Bumiputera di bandar-bandar perdagangan utama di seluruh dunia, sebagaimana dilakukan Korea Selatan dan Jepun.

“Pusat kecemerlangan ini penting bagi membolehkan diaspora bumiputera memberi penerangan mengenai spesifikasi perdagangan diperlukan syarikat dan autoriti luar negara dalam membolehkan usahawan bumiputera mengeksport produk ke sana.

“Dengan wujudnya kemudahan ini, diaspora bumiputera boleh memilih untuk kekal bekerja dan menerima gaji lumayan di luar negara menerusi pusat ini atau menjadi perunding cara kepada syarikat bumiputera secara separuh masa,” katanya.

Bantu ubah nasib

Bagi Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia, Datuk Dr Azman Yusoff, beliau mempunyai pandangan kontra. Jelasnya, dalam memastikan kontraktor bumiputera dapat bersaing dengan bangsa lain, golongan itu masih perlu bantuan dan kesungguhan politik daripada kerajaan untuk mengubah nasib mereka.

“Hakikat majoriti kontraktor bumiputera masih bergantung kepada projek keraja-an dan sukar bersaing merebut projek swasta adalah disebabkan rantaian pembekalan barang industri pembinaan masih dikawal oleh usahawan bukan bumiputera.

“Sebab itu bagi kami, kuota bumiputera masih perlu dikekalkan. Kerajaan juga wajar beri jaminan perbankan bagi setiap tender projek diluluskan demi mengelakkan aktiviti `ali baba’ projek berleluasa,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma’amor Osman pula menegaskan KEB 2024 perlu menekankan keperluan mengkaji semula sebarang polisi atau dasar ekonomi bumiputera lalu yang tidak mencapai sasaran ditetapkan.

Ujarnya, apabila punca kuasa kegagalan polisi lalu dikenal pasti, KEB 2024 perlu menggariskan satu resolusi bagaimana komuniti bumiputera mampu menyelesaikan permasalahan membelenggu polisi berkenaan dengan kadar segera.

“DEB selalu dikaitkan dengan pencapaian serampang dua mata bagi meningkatkan kek ekonomi bumiputera kepada 30 peratus. Sekarang sasaran itu masih tidak capai, kena cari punca dengan segera bukan tunggu 20 tahun lagi.

“Kedua, Kerajaan Madani juga harus belajar daripada kesilapan kerajaan lalu. Mandat pengurusan agensi kerajaan yang memfokuskan pembangunan ekonomi bumiputera tidak boleh diserahkan kepada pegawai tidak kompeten. la akan jadi hancur,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Ma’amor turut mencadangkan KEB 2024 mengenal pasti solusi bagaimana komuniti bumiputera boteh menguasai segmen rantaian pembekalan barang binaan. Dengan 85 peratus daripada pembekal barang industri pembinaan terdiri orang bukan bumiputera, beliau melihat keadaan itu satu perkara mendukacitakan.

“Apa salahnya kerajaan tubuhkan satu koperasi untuk menguasai rantaian pembekalan industri binaan di setiap Parlimen?

“Selain Itu, agensi kerajaan yang mengendalikan pemasaran produk usahawan bumiputera di dalam dan luar negara tidak boleh sekadar melepaskan batuk di tangga.

“Menteri-menteri kena pantau dan ambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang bersikap deep state (daulah terpendam),” tegasnya.

Artikel oleh: Sinar Harian

UBAH NASIB BUMIPUTERA, USAH MALU CONTOHI CINA

https://www.sinarharian.com.my/article/651886/berita/nasional/ubah-nasib-bumiputera-usah-malu-contohi-cina