PETALING JAYA: Kecewa dengan penangguhan kebenaran merapatkan saf solat jemaah di masjid dan surau, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) gesa keputusan tersebut dipertimbangkan semula.
Menurut ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, alasan menilai situasi varian Omicron adalah lemah setelah berapa jabatan agama negeri sudah pun bersedia untuk melaksanakan solat dengan kapasiti penuh serta merapatkan saf.
“Kami berharap agar YB Khairy menimbang semula keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan solat secara berjemaah yang diperintahkan oleh Allah ini dan menggariskan beberapa SOP yang lebih berkesan.
“Kami difahamkan pihak jawatankuasa masjid di beberapa buah negeri sudah pun bersedia untuk melaksanakan apa jua SOP tambahan bagi mengembalikan semula syariat ibadah solat berjemaah ini,” katanya dalam kenyataan pada hari Ahad.
Dalam pada itu, PPIM juga menggesa para agamawan supaya mengembalikan semula unsur pengimarahan masjid melalui kaedah solat berjemaah yang disarankan.
“Saya meminta agar para agamawan dan alim ulama supaya tampil memberi kesedaran dan kewajaran bagi menimbang secara serius untuk solat berjemaah menurut cara dengan saf yang rapat,” katanya lagi.
Kredit Gambar: Berita Harian
Artikel oleh: Sumberkini
TIMBANG SEMULA PENANGGUHAN KEBENARAN RAPATKAN SAF SOLAT – PPIM
https://sumberkini.my/timbang-semula-penangguhan-kebenaran-rapatkan-saf-solat-ppim/