CYBERJAYA – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memberi amaran akan menolak mana-mana calon parti politik yang angkuh, sombong dan bongkak dan melakukan diskriminasi terhadap permasalahan rakyat.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan menegaskan, pihaknya tidak teragak-agak untuk menghukum pemimpin politik sebegitu yang gemar mengeluarkan kenyataan hingga mengguris perasaan rakyat.
“Kita ada dengar kenyataan mengatakan kita akan susahkan mereka contohnya yang tiada vaksin.
“Kita patut nak cari orang, bantu menyenangkan hidup kita, bukan seksa kita.
“Sudah tiba masanya kita tak boleh terima (pemimpin) perangai bohong, sombong, angkuh dan bongkak.
“Sebenarnya PRU akan datang ini silap-silap siapa wakil rakyat atau pun calon yang angkuh dan sombong, kita tolak semua, kita tak mahu lagi diskriminasi,” katanya berucap dalam satu majlis, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau bersama Ketua Aktivis Pertubuhan Penyatuan Pemain Industri Pengangkutan Darat Malaysia (PPDM), Kamarudin Mohd Hussain menyerahkan memorandum tuntutan pemain industri E-Hailing, P-Hailing, lori dan bas kepada wakil-wakil parti politik.
Hadir sama Pengarah Komunikasi PKR merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Setiausaha Kerja Bersatu Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dan Setiausaha Agung Putra, Borhan Ahmad Zakaria.
Nadzim juga berkata, walaupun PPIM merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berusia lebih 25 tahun, namun ia tidak menghalang pihaknya menyokong memorandum yang dibawa pemain industri pengangkutan darat untuk mendapatkan pembelaan.
“Saya amat teruja dengan kesungguhan kumpulan ini pemain industri darat ini untuk bersama-sama menggerakkan jiwa kita.
“PRU15 pun tak lama, hari ini tujuannya lebih untuk menyatakan hasrat pemain industri menyerahkan memorandum kepada Ketua-Ketua Parti Politik.
“Kita akan sokong mereka yang sokong kita, yang membantu kita, kita nak wakil rakyat, Ahli Parlimen faham apa yang dilalui oleh rakyat, kerana rakyat ini terseksa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Artikel oleh: Malaysia Gazette
TOLAK SEMUA WAKIL RAKYAT, CALON ANGKUH DAN SOMBONG – NADZIM JOHAN