Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
ZAKAT DAN KEMISKINAN DIMUZAKARAHKAN – HARAKAH DAILY – 26/07/2022
27 Jul 2022

ALHAMDULILLAH dengan izin-Nya amanah buat ummah terus dijalankan hari ini dalam program Muzakarah Zakat Kebangsaan 2022 Kali Ke-9, anjuran Institut Fatwa dan Halal (IFFAH), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Yayasan Basmi Kemiskinan, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Majlis Belia Malaysia.

‘Zakat Dan Kemiskinan’

Merupakan tema Muzakarah kali ini, telah menghimpunkan para ilmuan, para pensyarah bersama agensi mengurus zakat.

Alhamdulillah, di negara kita mempunyai sistem yang tersusun dan terancang, urusan zakat adalah di bawah bidangkuasa Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN).

Kita dapat melihat contoh-contoh yang baik peranan MAIN yang agresif menyusun program agihan zakat membantu dan menangani isu-isu kemiskinan. 

Sebagai contoh, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sejak 1 Januari 2022 sehingga 31 Mei 2022, telah mengagihkan sebanyak RM297.14 juta menerusi pelbagai skim bantuan yang telah ditawarkan kepada mereka yang berkelayakan.

Dalam rekod kita, sehingga kini, setiap bulan secara tetap, MAIWP telah membantu lebih 30,000 ketua keluarga asnaf di Wilayah-wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan). 

Begitulah juga tahun ini, saya telah meminta MAIWP supaya memberikan program latihan keusahawanan kepada 2,000 orang asnaf termasuk modal teroka RM 20,000 seorang untuk berniaga. Termasuklah kita membangunkan program bertani bandar di PPR terpilih buat permulaan ini.

Yayasan Waqaf Malaysia juga telah membangunkan program Waqaf Tani Asnaf di Presint 20, Putrajaya untuk projek tanaman nenas, pisang dan jagung.

Inilah antara usaha jangka panjang yang kita usahakan. Saya percaya usaha yang sama diambil oleh lain-lain Majlis Agama Islam Negeri-negeri. Kita saling belajar dan berkongsi pengalaman demi memajukan asnaf kita.

Kita mengambil pendekatan memberi joran bukan hanya sekadar memberi ikan. Kerana impian saya untuk suatu hari nanti penerima zakat ini pula yang akan menjadi pembayar zakat.

Program-program dengan pendekatan sedemikianlah yang sedang digerakkan oleh agensi Islam Persekutuan.

Terima kasih kepada semua pembentang dan peserta Muzakarah Zakat Kebangsaan Kali ke-9 ini. Tahniah kepada penganjur Institut Fatwa dan Halal, USIM (IFFAH) dan seluruh rakan strategik.

Semoga ia menjadi titik kebersamaan kita untuk bekerja sebagai satu pasukan.

YB SENATOR USTAZ IDRIS AHMAD
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 26/7/2022

Artikel oleh: Harakah Daily

ZAKAT DAN KEMISKINAN DIMUZAKARAHKAN

https://harakahdaily.net/index.php/2022/07/26/zakat-dan-kemiskinan-dimuzakarahkan/