Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
SYARIKAT PENYEMBELIHAN HALAL DI AUSTRALIA DISIASAT – HARIAN METRO – 10/05/2022
13 May 2022

Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal sebuah syarikat yang diiktiraf halal oleh Malaysia di Australia, kata Ketua Pengarahnya Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Hakimah dalam kenyataan hari ini berkata, siasatan dilakukan Pegawai Atase Halal Jakim di Australia dan juga pihak berkuasa Australia iaitu ‘Department of Agriculture, Water and the Environment’ (DAWE).

Beliau berkata, perbincangan antara Jakim dengan Kaunselor (Pertanian), Kedutaan Australia di Malaysia juga diadakan pada 28 April lalu bagi memastikan hasil siasatan dapat diserahkan kepada kerajaan Malaysia secepat mungkin.

“Ingin ditegaskan bahawa Jakim sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak sekiranya terdapat apa-apa kesalahan dan ketidakakuran yang membabitkan proses pensijilan dan pengiktirafan halal,” katanya.

Beliau berkata, Jakim sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi menyiasat sebarang dakwaan salah laku dalam perkara itu termasuk membabitkan pegawai Jakim sekiranya ada.

Hakimah berkata, Jakim juga bersedia pada bila-bila masa untuk bertemu dengan mana-mana pihak yang mempunyai bukti kukuh mengenai isu tersebut demi kepentingan semua pihak.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) dan Sahabat 99, dilaporkan mendedahkan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) penyembelihan halal oleh sebuah syarikat di Australia, yang mendapat kelulusan dari Badan Induk Halal Jakim.

Presiden Pekemas, Faizan Mohd Nor ketika membuat pendedahan berhubung isu pelanggaran SOP penyembelihan halal di Australia dilaporkan berkata, berdasarkan kepada bukti video dan gambar serta diperkukuhkan saksi yang juga pekerja sembelihan, pihaknya yakin bahawa terdapat unsur-unsur yang jelas pelanggaran protokol penyembelihan.

Artikel oleh: Harian Metro

SYARIKAT PENYEMBELIHAN HALAL DI AUSTRALIA DISIASAT

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/05/840456/syarikat-penyembelihan-halal-di-australia-disiasat